Memahami Isu Prof Muhaya

in , by Haiqal sanif, June 19, 2021

Cantik sungguh ulasan penulis dalam mensyarahkan sunnah-sunnah memilih pasangan menurut Fiqh Syafi'i. 

Antara sunnah yang ditekankan kepada suami adalah "Sunat bagi lelaki untuk memilih pasangan yang bijak" dalam bab Fiqh kekeluargaan.

Saya terkesan dengan ulasan penulis ini berkenaan perempuan harus bijak sehingga membuatkan saya teringat kes yang hangat berlaku baru-baru ini iaitu isu Prof Muhaya dengan isu kita perlu buat "bodoh-bodoh" kepada perempuan yang ingin mencari jodoh. 

Jadi saya ringkaskan beberapa point penting mengikut pendapat peribadi dan ulasan penulis dalam menjelaskan maksud perempuan bijak di sini :-

Kita perlu selesaikan definisi Bijak dahulu, ramai menganggap bijak itu pada sijil Phd nya, mahupun tingginya kerjaya dan gaji. Ramai memahami Wanita patut merendahkan diri ketika ingin mencari jodoh dalam maksud lain juga bahawa wanita itu tidak sepatutnya lebih pandai dari suami, tidak boleh lebih bekerjaya dari suami. Ini maksud yang saya dapati daripada beberapa posting berlegar di media sosial terutama twitter

Tapi penulis buku mengatakan, wanita yang bijak di sini bukanlah bermaksud begitu. 

Maksud bijak kita selalu dianggap pada sijil, kerjaya tapi kurang bicara berkenaan peribadi dan karakter sebenar sedangkan pembangunan jiwa dan akal lebih penting daripada itu 

Memilih wanita yang bijak bermaksud menurut penulis adalah yang yang cerdik, berhikmah dan bijak mengawal emosi serta akhlak yang tinggi. Bukankah secara logiknya yang mempunyai akhlak yang tinggi lebih dihormati? Ketinggian budi menunjukkan aras ketinggian peribadi kita yang sebenar. Itulah maksud penulis 

Bukan bodoh-bodoh, walaupun saya cenderung kata-kata Prof Muhaya itu bukan maksud bodoh hakiki. Tapi disunatkan memilih yang bijak di sini adalah wanita yang mempunyai visi dan misi hidup yang jelas, kuat sabarnya dan setia tapi tidaklah sehingga buta tuli. 

Sentiasa mengingati akan hikmah ketika ujian datang melanda. Pandai menjaga dirinya sendiri dan seorang yang independent. 

Tidak menyangka buruk, mudah marah dan melenting. Sentiasa menjaga tuturkata terutama ketika bersedih dan marah. 

Sentiasa mengingati dan bertegas kepada suami akan pentingnya nakhoda keluarga memimpin dengan panduan Syariat.

Menyampaikan yang benar dan menasihati suami dengan cara paling berhikmah agar tujuan perkahwinan peroleh sakinah, mawaddah dan rahmah. 

Jikalau sang isteri itu sentiasa mengeluarkan kata kesat, cepat benar marah, tidak mampu bersabar dan sering mengeluh serta sering membuka aib suaminya pada khalayak seperti facebook. Tidakkah suami itu tidak jauh beza daripada duduk di penjara bagi sang suami? Terseksa batinnya menanggung derita emosi dalam diri sehingga mati ? Sedangkan institusi keluarga ini menuntut persafahaman dan tolak ansur yang tinggi di kalangan suami isteri. 

Kisah Ummu Sulaim menjadi teladan akan makna sebenar sang isteri yang bijak dan faham benar akan maksud hikmah. 

Menurut HR Muslim, anak Ummu Sulaim meninggal dunia ketikamana Abu Talhah (suami Ummu Sulaim) dalam perjalanan pulang ke rumah. Ummu Sulaim sungguh  berdukacita tapi beliau menahan kesedihan itu dengan kesabaran yang tinggi bagi menjemput suaminya dengan sebaik-baik keadaan yang yang baru sahaja balik kepenatan. 

Beliau tidak memberitahu terus perihal anaknya kepada suami kerana tidak ingin menyukarkan hati suaminya akan khabar yang berat terutama baru sahaja balik ke rumah. 

Biarlah Ummu Sulaim menyampaikan sendiri ketika suaminya dalam keadaan lapang dan bahagia 

Beliau siap memesan pada ahli keluarganya lain agar beliau sendiri ambil tanggungjawab mengkhabarkan hal kematian anaknya kepada Abu Talhah 

Beliau memakai sebaik-baik pakaian, menyediakan makanan. Kemudian habis sahaja dari bersetubuh bersama. Ummu Sulaim memulakan kata dengan perumpamaan yang bijak kepada suaminya :

"Wahai Abu Talhah, apa pendapat engkau apabila seseorang meminjamkan barangnya kepada sebuah keluarga lalu dia mengambil kembali. Adakah kita berhak untuk menghalangnya?

Abu Talhah membalas :" Tidak (kerana ia milik tuannya)" 

Ummu Sulaim dengan nada lembut dan tenang mengkhabarkan kepada suaminya : "Bersabarlah kerana sesungguhnya anak mu telah kembali kepada Allah SWT" 

Abu Talhah begitu sedih kecewa dan marah. Jikalau Abu Talhah sendiri pun menangis dan beremosi mendengar khabar itu apatahlagi hati seorang ibu? Tapi Ummu Sulaim tetap bersabae4Lalu Abu Talhah  mengadu akan perihal tersebut kepada Rasulullah SAW sepertimana seorang sahabat mendengar masalah sahabatnya. 

Baginda mendengar luahan Abu Talhah dengan teliti lalu mendoakan mereka berdua akan keberkahan malam persetubuhan mereka tersebut kerana kekentalan hati dan sabar yang tinggi dari Ummu Sulaim

Menurut Ibnu Hajar dan Imam Nawawi, setelah kejadian itu mereka dianugerahi cahaya mata baru bernama Abdullah. Daripada Abdullah lahir lagi 9 orang cucu yang kesemuanya menjadi ulama berkat doa baginda. 

Pelik, bagaimana Ummu Sulaim seorang wanita yang memesan kesabaran kepada suaminya sedangkan dialah yang paling terseksa jiwa batinnya berbanding lelaki. Menunjukkan kesabaran yang tinggi yang jarang sekali ada pada perempuan. 

Perancangan Allah SWT adalah yang terbaik, setiap ujian pasti Allah gantinya dengan lebih baik dan ganjaran yang sabar. 

Jikalau makna bijak itu hanya mengikut adat setempat, bergantung pada sijil dan kerja. Zalimlah perempuan yang tidak mempunyai peluang langsung untuk belajar dan berkerjaya tinggi.

Bijaknya perempuan itu bukan pada kebendaan tapi pada cerdasnya fikiran dan indahnya keperibadian. 

Menjadi wanita yang bijak, visi dan impian sendiri adalah dituntut dalam agama. Perkahwinan sepatutnya melonjakkan lagi potensi pasangan agar peroleh impian mereka sehingga berjaya dari dunia sehingga ke syurga. Tidak sepatutnya perkahwinan menjadi penghalang menggapai cita-cita.

Akhir sekali, mind set kita sebenarnya kena ubah dalam mencari pasangan. Kita bukan mencari isteri semata-semata, tapi kita mencari 'ibu' yang terbaik kepada anak kita. Agar keturunannya juga lebih bijak dari ayah dan ibunya. 

Jangan rasa inferior dengan kehebatan isteri, jadilah lelaki yang selayaknya dihormati 

"Lelaki menjadi pemimpin kerana dia layak bukan kerana simpati"




SHARE 0 comments

Add your comment

© Ukail Sanif · THEME BY WATDESIGNEXPRESS