GENERALISASI PANDANGAN MASYARAKAT

in , by Haiqal sanif, November 17, 2020

 Saya teringat lagi sembang-sembang kecil  dengan guru saya di depan universiti Azhar. Saya bertanyakan adakah seorang ayah yang sudahpun meninggal dapat dosa, jikalau anak itu melakukan maksiat ? ⁣

Beliau menyatakan bahawa itu adalah pemahaman salah. Dalil beliau mudah : ⁣

وَلَا تَزِرُ وَازِرَةٌ وِزْرَ أُخْرَىٰ⁣

“Dan (ketahuilah) bahawa seorang pemikul itu tidak akan memikul dosa perbuatan orang lain" ⁣

Syeikh Ali As-Sobuni dalam tafsirnya Sofwah At-Tafsir menyatakan bahawa : Seseorang pendosa tidak membawa dosa orang lain. Memadai dengan tanggungan dosanya tersendiri. ⁣

Suami tidak tanggung dosa isteri jikalau isteri melakukan dosa persendirian, jikalau suaminya sudah menegur. Ayah tidak menanggung dosa kedegilan anak jikalau ayahnya sudah menegur anaknya untuk memakai tudung. ⁣

Al-Quran jelas mengatakan, jangan kaitkan dosa seseorang dengan orang yang lain. Sepertimana sahabat besar Ikrimah bin Abi Jahal, siapa tidak kenal kekejaman Abu Jahal kepada Rasulullah SAW? Tapi Nabi tidak pernah melayani Ikrimah buruk walaupun ayahnya bermusuh besar dengan baginda. ⁣

Daripada ayat ini juga, ada makna yang lebih mendalam untuk difikirkan. Allah SWT mengajar cara kita berfikir, berinteraksi dengan Al-Quran iaitu jangan 'generalisasi' masalah antara satu sama lain. ⁣

Kita boleh melihat perkara ini berakar dalam Masayarakat kita, terlalu mudah generalisasi, menghukum dan simplistik. Misalnya, Apabila berlaku pegaduhan antara Ali dan Hakim. Habis kawan-kawan Hakim yang tidak ada kaitan pakat-pakat membenci Ali sedangkan kawan-kawan Hakim, tidak ada kaitan pun dalam pergaduhan itu. ⁣

Jikalau adik beradik mak ayah bergaduh, habis sehingga 7 keturunan turut bergaduh. Mengapa perlu mewarisi pergaduhan sehingga ke anak-anak? Sedangkan anak-anak tidak ada kaitan dengan permusuhan tersebut. ⁣

Jikalau sebahagian kawan-kawan Melayu  dia datang lambat dalam temujanji. Habis dia kata satu bangsa Melayu suka tidak tepati janji (Janji Melayu). Sedangkan yang lambat itu hanya sebahagian bukanlah semua bangsa (seronok sangat kah kutuk sebangsa malah diri sendiri?) ⁣

Kita terlalu mudah menilai dan pukul rata kepada semua orang. Yang melakukan kesalahan adalah sedikit sahaja, tapi dia pukul rata semua melakukan kejahatan sama. Seperti sebahagian orang Melayu datang lambat, tapi dia terus mengatakan orang Melayu datang lambat. Sedangkan ia berkenaan sikap, tidak terikat dengan bangsa. ⁣

Apabila sebahagian lelaki yang dia kenal membuat salah, habis dia kata semua lelaki sampah. Yang melakukan kesalahan adalah sebahagian, bukan semua. Asingkan mana betul dan salah! ⁣

Jikalau seseorang itu melakukan satu kesalahan, habis dia ungkit dan generalisasi semua salah dia. Seolah tidak ada sekelumit kebaikan yang ada padanya. ⁣

Sebab itu, seseorang yang mampu menilai dengan adil adalah orang matang dan unik ingin dijumpai, jadilah orang asing ini. Peganglah prinsip emas dari Al-Quran ini ketikamana ingin berkomunikasi sesama manusia. ⁣

وَلَا تَزِرُ وَازِرَةٌ وِزْرَ أُخْرَىٰ⁣

“Dan (ketahuilah) bahawa seorang pemikul itu tidak akan memikul dosa perbuatan orang lain"⁣

وَلَا تَكْسِبُ كُلُّ نَفْسٍ إِلَّا عَلَيْهَا⁣

Maksudnya: “Dan tiadalah (kejahatan) yang diusahakan oleh setiap orang itu melainkan orang itu sahaja yang akan menanggung dosanya"⁣

Ketikamana kita mampu membezakan mana putih dan hitam. Di situ kita dapat menerapkan keadilan. Pandanglah dengan mata bersih dan adil, kelak dunia akan dilihat dengan pandangan yang luas. ⁣



SHARE 0 comments

Add your comment

© Ukail Sanif · THEME BY WATDESIGNEXPRESS