Bersedekahlah walaupun ketika susah

by Haiqal sanif, November 14, 2020

 ⁣

Pada hari jumaat seperti biasa, memang makcik tersebut pasti berniaga ayam goreng RM1 terutama sewaktu pandemik ini. Bukan mudah ingin meneruskan hidup dikala waktu susah begini.⁣

Ini sudah kali kedua saya membeli dengan beliau. Kali pertama saya beli, Jelas terpancar raut muka beliau yang begitu gigih, berpenat lelah menanggung keringat keluarga, tidak lekang senyuman dan bersungguh menjual gorengannya. Setiap pelanggan yang datang pasti disambutnya. ⁣


Selesai saya memilih ayam, tidaklah banyak mana yang saya beli, hanya dua ketul sesuai dengan bajet saya yang masih pelajar lagi. Beliau tiba-tiba tambahkan satu lagi ayam goreng kepada saya sambil membisikkan.⁣

"Takpe dik, ambil je satu lagi. Harini hari jumaat, makcik memang dah niatkan bagi 1 percuma kepada pembeli. Makan je tau"⁣

Saya terharu dan terus mengucapkan terima kasih sebagai tanda penghargaan.⁣

Setelah hampir sebulan tidak mengunjungi Majis UTM, KL. Beliau masih ada di situ tapi kali ini bersama anaknya. Gigih menjual dan masak kepada pelanggannya dengan senyuman yang sama.⁣

Cuma pada kali ini, sifat suka sedekahnya makin menjadi-jadi. Beliau baru sahaja hadiahkan sebungkus ayam kepada polis yang menjaga masjid sebagai penghargaan menjadi frontliner. ⁣

Saya singgah sebentar ke kedai beliau dan memang ayam goreng beliau sememangnya sedap. Saya beli beberapa ketul. Selesai memilih dan ingin membayar, Beliau cepat-cepat menyuruh saya tambah 2-3 ayam, menjadikan saya serba salah dan terus bertanyakan kepada beliau secara spontan. ⁣

"Banyak sangat ni makcik, takpe ke? Makcik nak jual lagi ni" ⁣

Beliau terus membalas dengan senyuman yang masih sama seperti sebelumnya. ⁣

"Takpe dik, harini kan hari jumaat. Saya sedekah takpe" rauk muka jelas senyuman ikhlasnya, tidak ada rasa berat hati sewaktu memberi kepada orang lain. ⁣

"Terima kasih makcik" ⁣

Beliau masih tersenyum, mungkin memberi sedekah itu satu kepuasan kepada beliau. ⁣

Tindakan beliau ini benar-benar menginspirasikan saya. Berniaga seperti itu mungkin tidaklah dapat untung sehingga berjuta ringgit. Tapi sifatnya yang suka sedekah mengalahkan ramai jutawan. ⁣

Hasil sedekah beliau walaupun Bernilai RM 2-3 tapi sebenarnya memberi makna yang lebih dalam. Beliau sebenarnya mengajarkan kepada anak-anak muda seperti saya bahawa sebaik-baik manusia adalah yang selalu memberi. Jangan berhenti memberi walaupun sewaktu susah. Hidup mesti diteruskan demi keluarga. Allah SWT pasti membantu dan menambah rezeki dari jalan yang tidak pernah disangka. ⁣

Beliau bukan sahaja memberi makanan, tapi erti paling besar ialah beliau memberi nilai dan pengajaran. ⁣

Sedekah bukan dibuat ketika kaya, tetapi ia lebih-lebih lagi digalakkan ketika susah. Tidak akan sama ganjaran orang yang bersedekah ketika senang dan orang yang bersedekah ketika waktu susah. Dengan sedekah, pintu rezeki akan lebih luas dan menjadi asbab terhapusnya dosa. ⁣

“Sedekah itu dapat menghapus dosa sebagaimana air itu memadamkan api”⁣

HR at-Tirmidzi⁣

Manusia yang paling layak untuk menjadi kaya adalah yang paling pemurah ketika dia susah. Lalu bertawakkal setelah berusaha dan menyerahkan diri kepada Allah SWT yang Maha memberi Rezeki.⁣

Tidak akan rugi orang yang bersedekah, Rasulullah SAW bersabda :⁣

 قال النبي ﷺ: ومن كان من أهل الصدقة دعي من باب الصدقة⁣

" Rasulullah SAW bersabda : Barangsiapa dari kalangan orang yang rajin bersedekah, akan dipanggil (masuk ke syurga) dari pintu bernama 'Sadaqah'" HR Bukhari (1897) Muslim (1027)⁣

Jangan sesekali niat hanya ingin menambahkan rezeki, utamakan niat bersedekah kerana ia adalah ibadah, kemudian kepilkanlah sekali niat sebagai bentuk tawassul amal dan penyebab pintu rezeki terbuka luas. Amalan yang tiada keikhlasan tidak akan diterima.⁣

Moga-moga makcik tersebut dimurahkan rezeki, berjaya dunia dan akhirat. Makcik benar-benar menginspirasikan saya. Moga beliau dapat membaca tulisan ini. ⁣




SHARE 0 comments

Add your comment

© Ukail Sanif · THEME BY WATDESIGNEXPRESS