KEMELUT WAHABI PERBEZAAN PENDAPAT

by Haiqal sanif, October 07, 2020

Ada rakan sekerja saya bertanya kepada saya secara tiba-tiba, apakah maksud istiwa Allah di Arasy? 

Saya termangu sendirian, tidak ada ribut tiba-tiba tanya soalan begini. 

Soalan ini famous dan kontroversi kerana soalan inilah bagi sebahagian orang adalah kayu ukur ingin menilai dia wahabi atau bukan.



Saya dengan senyum berkata saya ambil pendirian untuk tak nak jawab (Tawaqquf). Sebab saya tahu, isu kontroversi ni jikalau dibahaskan takkan menghasilkan jawapan dan kebanyakannya diakhiri dengan permusuhan. Kemudian dia mulalah cerita wahabi ini adalah golongan yang sesat dan mengatakan bahawa wahabi berpegang Allah itu di atas langit dan bertempat.

Saya tanya beliau, siapa wahabi ni ?

Beliau menjawab "Wahabi ni kita tak boleh nak ikut dan sesat"

Saya tanya lagi, "Awak tak jawab soalan saya lagi, siapakah beliau?"

Beliau kelu dan hanya ulang perkara sama. Saya malas nak dengar perkara berulang dan saya terus memberitahu beliau bahawa Muhammad Ibnu Wahab adalah seorang Islam yang sama juga dengan kita dan seorang pendakwah dan alim. Pendekatan dan cara berdakwah dia yang agak keras dengan masyarakat tapi dia bukanlah mazhab dan ia tidak sesuai dengan suasana Malaysia. 

Nampak ketara berkerut bulu matanya, seolah tidak puas hati apabila saya mengatakan Muhammad ibnu Wahab juga seorang alim.

Saya terus mengemukakan buku dan kajian seminar antarabangsa yang ditulis (Syeikh Muhammad Ibnu Andul Wahab : Antara Fakta dan Palsu) . Belum sempat saya sebut nama buku terus beliau mengatakan : "Saya tak terima buku tapi saya terima kitab sahaja" 

Saya kata pada dia apa beza kitab dan buku sedangkan sama sahaja maksudnya ? 

Beliau mengatakan dia hanya berpegang pada kitab Turath tapi tidak menerima buku kajian semasa. 

Saya bertanya kembali, "habis tesis master dan Phd bagaimana ?" Beliau tetap tidak bersetuju dengan perkara ini. 

Saya tanya lagi, "walaupun tesis master dan Phd ulama Azhar pun anda tolak?" Dia tetap bertegas hanya buku turath yang beliau pelajari di acheh saja diterima walaupun dia dari Azhar! ( Beliau lepasan pondok di Acheh) malah mengatakan yang belajar di Azhar ramai tidak boleh pakai dan orang pondok sahaja berkualiti. 

Jelas kelihatan beliau sudah beremosi, apatah lagi apabila saya katakan Muhammad ibnu Wahhab itu juga seorang alim. Memang begitu jelas raut wajah beliau mula berubah. 

Saya mula meredakan kembali, mungkin beliau masih tidak faham kenapa saya persoalkan pengetahuan beliau. Memang pendirian saya begini, saya paling tak suka apabila ada orang membenci tanpa beliau tahupun siapa yang dibenci atau dalam ertikata lain hanya menjadi pak turut, tidak pernah melakukan kajian sendiri dan berhadapan dengan orang yang dibenci. Hasil daripada hanya ikut momokan orang sahaja, habis orang lain yang bukan sefahaman dengan beliau dituduh wahabi. 

Saya cuba sejukkan kembali hati beliau "Ya, fahaman Wahabi sememangnya tidak sesuai di Malaysia, suasana Malaysia sudah sebati dengan bacaan yasin malam jumaat, zikir berjemaah selepas solat. Semua ini perkara khilaf yang boleh diberi ruang untuk kita berbeza pendapat malah tidak menganggu akidah seseorang. Setiap pendapat ada kekuatan dalil masing-masing, sebagaimana kaedah usul fiqh (Adat menjadi faktor penting dalan sesuatu hukum) dan pelbagai kaedah lain. 

Adapun jikalau kita terus mengatakan mereka ini sesat kerana permasalahan Allah itu bertempat. Wallahua'lam, bukan semuanya begitu mengikut pengetahuan saya, malah ada syeikh-syeikh yang saya kenal tidakpun mendakwa begitu. Beliau lebih suka berpegang pendapat untuk menyerahkan ayat mutasyabihat dan kontroversi itu kepada Allah swt (Tafwidh) kerana manusia tidak mampu memahami ketinggian ayat Allah SWT. 

Sepertimana kata Wahbah Zuhaily dan ramai guru-guru saya di Azhar, kami tidak setuju pada pendekatan mereka yang keras membida'hkan orang lain. Itu sahaja. Samada khalaf dan salaf, Kedua-dua golongan ingin menyucikan Allah SWT menurut cara tersendiri. Ada yang pertengahan dan bukan semua mengkafirkan orang lain. Ekstremes ada pada setiap kelompok dan dia tidak terlepas samada dari golongan Salafi mahupun Sufi.  

Saya katakan saya suka dengan pendapat Al-Qardhawi (Hasan Al-Banna), ia adalah khilaf pada ilmu Akidah bukannya berbeza Akidah! 

Selagimana dia mengucapkan syahadah, beriman dan mengamalkan Islam maka dia tetap Islam. Adapun perbezaan makna ayat mutasyabihat ini masih di dalam kerangka khilaf yang dibenarkan. Yang penting ukhuwwah tetap terjaga, itulah lebih utama. 

Beliau masih tidak puas hati dengan penjelasan saya. Sepanjang saya bersembang dengan beliau, beliau sudahpun beremosi dan sudah mental block tidak mahu menerima pendapat orang lain. Apa yang dia tahu bahawa Wahabi ini kafir, itu sahaja. Apa lagi saya boleh terangkan, jikalau beliau sudahpun memilih 'kebenaran' yang dia inginkan sebelum mula perbincangan lagi. berbanding mencari kebenaran sebenar dengan pemerhatian! 

Bayangkan apabila saya tanya kenal Al-Qardhawi atau tidak? Beliau langsung tidak kenal. 

Apalagi yang ingin kita katakan jikalau pada awal lagi beliau tidak mempunyai asas yang kuat dan hati yang berlapang dada. Syeikh Atiyyah Saqar mengatakan ada golongan yang pertengahan. Bukan semua membidahkan. Tidak ada guna membazir kata jikalau seseorang itu tidak lagi menghormati hujjah orang lain atas keilmuan. Saya tahu saya kena redakan keadaan. 

Beliau menceritakan, dia lihat video di FB, Wahabi ini bergaduh dengan seorang ahli sunnah wal jamaah. Ahli sunnah wa jamaah itu apabila tahu beliau wahabi, terus beliau bertanya dengan wahabi itu. "Engkau Wahabi?", "Iya". "Jikalau engkau Wahabi kenapa engkau naik kereta ini? Zaman Nabi dulu kan tidak ada kereta? Ini tidak bidah?"... 

Beliau berhujjah, jikalau wahabi mengatakan zikir jemaah itu bidah kerana tidak dibuat nabi kenapa engkau (Wahabi) menaiki kereta? Kan zaman Nabi tidak ada kereta? Naiklah unta. Katanya 

Saya hanya mendengar sahaja, itulah ratib hujjah ramai orang yang mengatakan wahabi ini salah. Bagi saya, jikalau nak berlawan hujjah dengan mereka atas keilmuan bukan kerana seteru emosi. Bagilah hujjah yang lebih baik dan tidak dangkal sebegini. 

Sepanjang saya kenal syeikh-syeikh ini, mereka mengatakan itu bidah tapi tidaklah sampai mengatakan menaiki kereta hanya kerana Nabi tidak ada kereta zaman dahulu adalah bidah. Sedangkan bidah yang mereka maksudkan itu pada perkara agama, bukannya pada inovasi dan rekacipta manusia moden. Jadi tidak logiklah jikalau memberi hujjah sedangkal begini. 

Kemudian, perbincangan tentang wahabi ini saya cuba terus menenangkan keadaan sambil menegaskan bahawa fahaman Wahabi ini tidak sesuai dengan Malaysia. Walaupun saya sudah tegaskan sebegitu, beliau tetap juga tidak setuju dan ingin katakan wahabi ini kafir. Saya tidak ingin meneruskan perbincangan ini kerana jikalau diteruskan saya rasa emosi beliau akan terus menguasai. Saya terus membuka topik lain, untuk menjaga silaturrahim dengan beliau. Setelah perbincangan tadi, barulah suasana menjadi lebih tenang dan kami masing-masing dapat meneruskan ukhuwwah seperti biasa. 

MORAL OF THE STORY 

Saya tidak ada masalah jikalau ramai tidak bersetuju dan menerima beliau atas landasan ilmu, cuma mengeji dan menokok nambah apa yabg tidak disebut sehingga mengkafirkan orang itu yang saya tidak setuju. Sedangkan mengkafirkan orang memerlukan penilitian yang berhati-hati. 

Biarlah kita tidak setuju dengan Muhammad  bin Wahab ini kerana ilmu dan kena mengetahui siapa yang kita tidak setuju. Ini jikalau sumbernya hanya pada FB, cakap-cakap orang tanpa dibuktikan dengan fakta serta kajian. Jadilah kita hanya pakturut, jikalau guru kata Ya. Ya sahaja jawapannya. Jikalau guru kata, salah. Salah juga jawapannya dan tidak usaha untuk mencari kebenaran, apakah itu kebenaran dan apa itu kesalahan?

Saya yakin ramai di Malaysia mempunyai watak sebegini, mudah emosi dan hanya terima maklumat dari ustaz-ustaz yang latarbelakangnya pun tidak kita ketahui. Kita hanya menerima tanpa lakukan kajian selidik. Mudah menyesatkan orang lain malah mengkafirkan orang lain bahkan mengalahkan wahabi sendiri.

Jikalau kita sendiri tidak tahu siapa yang kita benci, maka semua yang tidak bersafahaman dengan anda turut dituduh wahabi. Hanya kerana kejahilan kita, malas membuat penelitian, tidak ingin bersangka baik sesama muslim orang lain yang dapat tempias. 

Biarlah kita tidak setuju dengan seseorang tidak membawa kepada permusuhan ukhuwwah. Kita mengkritik hujjah dan idea, tapi jangan menuduh peribadi. Malah perbezaan pendapat dan menuduh sesama sendiri wahabi kerap berlaku dalam politik. 

Beringatlah walau warna apapun dipilih, jangan gadaikan persahabatan dan ukhuwwah antara kita. 

Benci dan suka biarlah berpada-pada, jangan melampau batas kelak membawa padah kepada diri. 

Tidak setuju biarlah kerana ilmu, jangan kerana emosi!



SHARE 0 comments

Add your comment

© Ukail Sanif · THEME BY WATDESIGNEXPRESS