ADAKAH DIBOLEHKAN PRE-ORDER DUIT KEPADA TUKARAN WANG ASING ?

 

GAMBARAN MASALAH

Kecoh pertengahan tahun 2019 di Mesir perniagaan pre-order tukaran duit RM ke LE. Amalan ini berlaku dengan menetapkan harga yang jauh lebih tinggi dari pasaran dengan syarat duit tersebut dibayar dahulu dan diterima pelanggan selepas 2-4 minggu.

Contohnya : Rate tukaran semasa RM ke LE, 3.9 LE lalu peniaga duit menjual dengan harga lebih tinggi iaitu sebanyak 4.2 LE (Banyak kot !) dengan SYARAT saya bayar dahulu, transfer bank in di akaun beliau sekarang dan duit LE Mesir tersebut akan dapat 2-3 minggu lagi.

Sebenarnya tukar duit begini memang menguntungkan. Cuma amalan ini berakhir apabila peniaga tersebut yang memperkenalkan tukaran duit ini menghilangkan diri setelah dikreditkan duit RM kepada beliau lalu tidak memberi duit LE (wang Mesir) yang dijanjikan kepada pelanggan. Berjuta duit dilaporkan rugi. Sejak itu, amalan ini terhenti dan tidak dilakukan lagi. Pesalah yang terlibat juga ramai.

Ini secara ringkas kes kronologi yang berlaku di Mesir. 

Bagaimana peniaga duit ini melakukan penukaran duit ?

Kebiasaannya, peniaga tersebut menukar duit RM ke US dollar di Malaysia kerana rate US dollar di Malaysia jauh lebih baik. Lalu, mereka membawa duit 10K dollar misalnya ke Mesir dan sampai sahaja di Mesir mereka tukar duit dollar tersebut kepada peniaga arab dari dollar ke LE Mesir underground.

Peniaga Malaysia tersebut setelah menukarkan Dollar ke LE, mereka menjual duit Mesir itu dengan harga yang lebih mahal sedikit dari pasaran semasa. Misalnya jikalau XE currency RM 1 ke LE bersamaan 3.9. Mereka menjual 3.7 Le.

Untung ke ? Ya, untung dan permintaan tinggi tapi memerlukan modal yang besar. Oleh kerana ia memerlukan modal yang besar dan boleh dianggarkan RM 40K diperlukan untuk modal basic. Tidak ramai pelajar yang mampu masuk perniagaan ini kerana tiada modal yang cukup.

Pada asasnya transaksi seperti ini tidak ada masalah syariah jikalau menepati standardnya dan tidak bertangguh

Maka masuk kepada permasalahan kita, apabila Pre-order tukaran duit RM ke LE diperkenalkan maka di sinilah bermulanya permasalahan syariah berlaku kerana ada penangguhan penerimaan duit iaitu pembeli tidak menerima duit LE itu secara langsung tapi tertangguh selama 2-3 minggu misalnya. 

Kenapa pre-order ini wujud ? Ia wujud sepertimana saya terangkan di atas bahawa perniagaan tukar duit memerlukan modal yang besar. Maka peniaga menggunakan pre-order ini untuk mengumpul modal bermakna peniaga tersebut tidak pun menggunakan modal peniaga sendiri akan tetapi menggunakan duit pembeli.

Maka dengan sekejap sahaja modal RM 40K dapat dikumpulkan untuk menukar duit ke US dollar. Oleh kerana stok US Dollar ini ditukar di Malaysia, dengan sebab itulah duit LE itu lambat diterima oleh pelanggan.

 

Salah ke ? Ya salah kerana duit adalah barang ribawi seperti termaktub di dalam Resolusi AAIOFI dan jikalau ditukar dari US dollar ke LE, maka ia tidak boleh bertangguh. Akan tetapi berbeza masalah jikalau peniaga membuka pre-order buku. Pelanggan memberi dahulu duit untuk beli buku tersebut lalu peniaga menggunakan duit tersebut sebagai modal kos membuat buku. Ia dibolehkan jikalau pre-order ini kepada buku kerana buku bukannya barang ribawi.

 

Contoh : Syarikat buku PTS membuka pre-order buku berjudul ‘Aku Terima Nikahnya’ dengan harga murah. Jikalau harga pasaran sebuku RM 35, maka Syarikat PTS membuka dengan harga bawah pasaran iaitu RM 20 jikalau beli secara pre-order. Pre-order memang menjadi amalan sesetengah syarikat kerana mereka tidak perlu menggunakan modal sendiri tapi dengan menggunakan duit pelanggan. Ini dibolehkan kerana buku bukan barang ribawi. (Kita akan pergi secara ringkas barang ribawi itu apa di perbahasan akan datang).

 

Begitulah gambaran secara ringkas dalam permasalahan isu ini, maka kita pergi kepada hukumnya pula dan mengapa ia tidak dibenarkan.

 

 

RIBA

Riba secara bahasa bermaksud : Lebih, bertambah

Riba dari segi syara’ :

عقد على عوض مخصوص غير معلوم التماثل في معيار الشرع حالة العقد أو مع تأخير في البدلين أو أحدهما

Suatu akad pertukaran barang tertentu yang tidak diketahui padanannya menurut syara’ yang terjadi saat akad berlangsung atau akibat adanya penundaan serah terima barang baik terhadap kedua barang yang dipertukarkan atau salah satunya saja.”Hasyiata Qalyubi wa Umairah, mazhab Syafi’i.

Riba terbahagi kepada dua iaitu Riba’ Fadhl (lebih) dan Riba Nasa’ (tangguh)

Manakala barang ribawi pula ada enam menurut hadis Ubadah bin Somit iaitu : Emas, Perak, Barli, Gandum, Kurma dan Garam.

Maka apabila kita menukar (bukan membeli) barang yang sama antara enam barang ribawi ini maka disyaratkan sama timbangan dan tidak bertangguh.

Contohnya : Emas 1 gram wajib bersamaan 1 gram dan tidak boleh bertangguh juga tidak boleh 1 gram emas lebih berkualiti tukar dengan 2 gram emas yang kurang kualitinya.

Wajib sama dan tidak bertangguh.

Jikalau berlainan jenis tapi masih termasuk dalam kategori yang sama seperti 1 gram Emas dan 3 gram Perak, tidak wajib sama tapi diwajibkan penyerahan barang secara langsung dan tidak boleh tertangguh. 

Maka dalam konteks semasa, duit dollar dan duit Mesir (LE) adalah berbeza tetapi dia termasuk dalam kategori yang sama iaitu WANG. Maka diwajibkan penyerahan duit itu secara langsung tanpa tangguh.

Secara ringkas, jikalau terlebih timbangan seperti di contoh yang pertama dipanggil riba al-‘ fadhl (lebih) manakala jikalau jual beli ini bertangguh maka ia dipanggil riba nasiah (tangguh).

JUAL DUIT SECARA PRE-ORDER

Cara jual beli pre-order duit ini tidak ada TAQABUDH iaitu penyerahan barang secara langsung. Sedangkan penukaran duit antara LE ke RM tidak diwajibkan sama tapi tidak boleh bertangguh. Wajib secara langsung.

Hal ini kerana wang semasa sekarang telah difatwakan oleh badan seluruh dunia bahawa wang semasa dikira sebagai barang ribawi kerana I’llah (sebab) ialah ‘harga’ sama I’llahnya juga dengan emas dan perak.

Pre order duit ini juga dilarang kerana mengandungi Gharar apabila duit LE itu masih belum ada akan tetapi peniaga telah pun menjual walaupun duit LE itu masih belum ada.

Larangan ini sejajar dengan hadis Nabi SAW bahawa :

لاَ تَبِعْ مَا لَيْسَ عِنْدَكَ

“Janganlah kamu menjual apa yang tidak ada padamu”

 

HUJJAH YANG MEMBENARKAN JUAL BELI SECARA TANGGUH

Ada sebilangan peniaga menggunakan hujjah bahawa duit ini bukannya barang riba terutama dari mazhab Syafi’i.

 

وعندما يقول النووي في الروضة: )والصحيح أنه لا ربا في الفلوس ... فهو إما يعني أنه لم يغلب عليها وصف الثمنية. وقد أكد هذا المعنى في المجموع عندما قال - رحمه الله - وليست الفلوس كذلك - أي ليست جنس الأثمان غالبا فإنها وإن كانت ثمن في بعض البلاد فليست من جنس الأثمان غالبا.

Maksud : Imam al-Nawāwī di dalam Raudah Tolibin berkata : Tidak ada riba’ pada fulus. Kerana lazimnya fulus itu tidak mempunyai nilai yang setaraf dengan emas dan perak.  Ini dikuatkan lagi di dalam kitabnya Al-Majmu’ bahawa Imam Nawawi berkata :  fulus bukan seperti emas dan perak kerana ia bukannya jins al-athmān ghāliban (bukan jenis wang diterima umum) walaupun diterima pakai di sebahagian Negara”

 

MENJAWAB HUJJAH TERSEBUT

Ada sebahagian pelajar Syariah quote ayat berikut dalam kitab Turath untuk permasalahan terkini. Bahkan ayat ini diambil di luar konteks kerana terdapat perbezaan besar antara fulus dan nuqud. Kekeliruan timbul fulus dan nuqud jika diterjemahkan kepada bahasa Melayu. Dua-dua bermaksud wang sedangkan di dalam bahasa Arab ia berbeza.

Nuqud dalam bahasa arab merujuk kepada emas dan perak manakala Fulus pula kepingan tembaga yang digunakan sebagai mata wang. Orang ramai menggunakan fulus sebagai medium pertukaran untuk jual beli barangan dan perkhidmatan yang mempunyai nilai yang lebih rendah daripada dirham iaitu hanya 1/38 daripada dirham. Sebab itu Imam Nawawi mengatakan fulus tidak dikira sebagai wang yang sama taraf dengan nuqud maka tidaklah berlaku riba padanya.

Malah jikalau kita lihat wang semasa sekarang diterima seluruh dunia berbeza dengan nuqud pada zaman Imam Nawawi yang diterima hanya sebahagian tempat.

Ibn Ḥajar al-Haytamī menerangkan sekiranya fulus diterima dengan meluas sebagai mata wang maka ia menerima hukum mata wang iaitu emas dan perak

Sheikh Muṣṭafā al-Zarqā’ menjelaskan setiap pemikiran yang mengatakan wang kertas tidak tertakluk dengan hukum emas dan perak adalah pemikiran cetek dan menyebabkan riba menjadi halal dalam segala urusan. Pemikiran tepat ialah menganggap wang kertas adalah mata wang dan mempunyai sifat thaman (harga/nilai) serta berkait hukum dengan emas dan perak. Setiap pertukaran mata wang yang berbeza seperti Dinar Jordan, Dolar Amerika, Riyal Saudi dan sebagainya dianggap sama seperti pertukaran emas dengan perak. Dibenarkan tafāḍul sebagai pertukaran emas dan perak tetapi dilarang serahan secara bertangguh.

Sebab itu mengatakan wang semasa tidak berlakunya riba dan boleh dilakukan amalan pre-order terhadap duit boleh membuatkan masyarakat terjebak dengan riba dengan menggunakan kata-kata ulama secara mentah tanpa mengaitkan dengan realiti semasa.

Ibnu Qayyim sendiri pernah memberi nasihat akan masalah ini dalam buku I’lam Al-Muwaqi’in :

ومن أفتى الناس بمجرد المنقول في الكتب على اختلاف عرفهم وعوائدهم وأزمنتهم وأحوالهم وقرائن أحوالهم فقد ضل وأضل.

 Maksud : ”Barangsiapa yang berfatwa kepada masyarakat dengan mengambil bulat-bulat dari kitab-kitab (fiqh) tanpa mengikut uruf, adat, zaman dan keadaan semasa suatu masyarakat maka sesungguhnya dia itu sesat lagi menyesatkan !”

Sebab itu kita perlu lebih berhati-hati dalam memberi fatwa kepada masyarakat terutama berkaitan halal dan haram dalam Islam.

Yang membuatkan saya terkilan lagi bahawa ada seorang syeikh yang terkenal mengatakan Wahabi bagi sesiapa yang mengatakan duit berlakunya riba kerana sependapat dengan Ibnu Taimiyyah !

Saya sejujurnya terkilan dengan sikap menuduh dan melabel terhadap orang yang tidak sependapat dengan mereka. Walhal majoriti ulama sedunia seperti Syeikh Mufti Taqi Uthmani, Dr. Abdul Sattar Abu Ghuddah dan ramai lagi telah berhimpun mengatakan bahawa duit mempunyai nilai yang tersendiri dan mengambil hokum sepertimana berlaku kepada emas dan perak kerana mempunyai I’llah yang sama iaitu (Tsamaniah). Malah telahpun menjadikan sebagai resolusi kewangan Islam seluruh dunia melalui AAOIFI.

 

RESOLUSI MAJLIS FATWA ANTARABANGSA

Semua majlis fatwa antarabangsa menganggap wang kertas ialah alat pertukaran dan tertakluk kepada hukum riba sebagaimana pada emas dan perak seperti Lembaga Ulama Besar Arab Saudi, Akademi Fiqh Islam di bawah naungan Liga Dunia Islam (Rābiṭah al-‘Alām al-Islāmī, Akademi Fiqh Islam Antarabangsa OIC dan Akademi Fiqh Islam India.

 

RESOLUSI

1)      Maka yang demikian wang kertas adalah mata wang tersendiri seperti emas dan perak dan tertakluk kepada hukum emas dan perak.

2)      Hukum pre-order duit adalah diharamkan kerana tidak ada Taqabudh (secara langsung) dan boleh terjebak dengan riba Nasia’h.

3)      Jual beli yang diterima menurut syara’ dan majoriti adalah wajib secara langsung dan tidak bertangguh.

Wallahu'alam 

 

 

RUJUKAN

1) Al-Buyu’ Syaia’h, Dr.Muhammad Taufiq Ramadan Al-Bouty, Dar Fikr

2) Hasyiata Qalyubi wa Umairah, Dar Hadis

3) Hukum Wang Kertas Masa Kini : Satu Analisa Menurut Perspektif Syariah

 


SHARE 0 comments

Add your comment

© Ukail Sanif · THEME BY WATDESIGNEXPRESS