Semasa beliau menziarahi Mesir satu majlis tausiyah diadakan bersama Mufti Wilayah dan Menteri Hal Ehwal Agama ketika itu, Dr. Mujahid Yusuf Rawa.
Habis sahaja majlis tersebut, saya bergegas untuk tanya secara personal tentang soalan yang menjadikan saya tak tidur malam istilahnya.
Jelas zahir kewarakan dan tawadhu'nya beliau kerana sanggup menyambut salam dan bersedia menjawab soalan saya walaupun beliau ingin bergegas ke tempat lain.
Saya terus bertanya kepada beliau, "apakah hukum tawassul dengan orang soleh yang sudah meninggal ?"
Saya sengaja bertanya kepada beliau dengan soalan panas ini kerana saya ingin tahu sangat apakah reaksi beliau dan lebih penting lagi apakah jawapan beliau ? Jawapan 'belah' mana yang beliau beri.
Beliau senyum kepada saya
Lemah lembut beliau menjawab dengan pertanyaan balik kepada saya.
"Mufti Mesir kata apa pada hukum ni ?"
Saya diam kerana saya tidak tahu waktu itu.
Tapi saya tegas inginkan jawapan, "tapi ustaz, Saya tetap nak tahu pendapat Ustaz ?"
Beliau masih dengan jawapan beliau dan berulangkali sebut, "apa pendapat Mufti Mesir terhadap hukum ni ?" Waktu itu beliau perlu ke bilik lain. Pertanyaan saya berhenti sekadar itu dan beliau berpesan untuk cari sendiri pendapat Mufti Mesir tentang isu ini dan itu sahaja jawapan beliau.
______
Balik rumah saya mencari pendapat Mufti Mesir melalui laman web dar-Ifta'. Saya jumpa jawapan tapi sampai sekarang saya masih terfikir kisah ni.
https://www.dar-alifta.org/ar/ViewFatwa.aspx?ID=11427&LangID=1&MuftiType=0&%D8%
Kesimpulan saya, bukan mudah untuk jadi mufti. Dalam isu panas begini, belah manapun beliau pilih, tetap akan dikecam.
Perkataan mufti itu berat,
Kata-kata mufti berpengaruh,
Rakyat berpegang kuat dengan mufti.
Setiap kata-katanya akan menjadi hujjah bagi sekolompok lain walau mana-mana kelompok pun beliau memilih.
Jikalau beliau memilih ya, tawassul dibolehkan beliau akan dikecam. Manakala jikalau beliau memilih tidak boleh, dituduhnya wahabi.
Saya bertanya pula dengan seorang pensyarah di UKM yang memegang agak besar jawatannya.
Saya bertanya kepada beliau pula hukum ini, beliau memberi jawapan yang berbelah dan bagi saya lebih tertuju kepada sentimen.
"Orang yang tak bagi tawassul ni biasanya wahabi"
Saya berdiam sebentar dengan jawapan tersebut. Wahabikah jikalau ada orang lebih suka untuk tidak bertawassul tapi tidak menghalang orang lain melakukannya ? Saya jumpa ada orang begini, jadi saya nak kata dia wahabi ? Bertambah kesatuan Umat Islam ke dengan saya menggelarnya begitu ?
Yang saya baca dan saya tahu, bukan semua yang tidak mempersetujui tawassul adalah wahabi, yang saya jumpa juga ada yang lebih suka ambil pendekatan tidak mengkafirkan satu sama lain. Jikalau dia nak buat, terpulang selagi ada hujjah. Jikalau dia taknak buat pun tidak mengapa.
Jangan fitnah dan salahkan orang lain.
Saya anggap pemaksaan idea terhadap seorang yang lain adalah tidak wajar. Tuduh menuduh sesama lain lagilah jauh dari sifat orang berakhlak. Jikalau berbeza pendapat, sabar dan berlapang dada lah.
Sepanjang saya bersembang dan menanyakan soalan-soalan kepada pensyarah saya di uni Azhar. Mereka langsung tidak mentakfirkan antara satu sama lain. Bila ada pelajar semangat bertanya dan mengatakan kepada pensyarah bahawa sesatnya kelompok wahabi, beliau menenangkan pelajar tersebut dengan meminta pelajar tersebut agar bersifat wasatiy dan berulang kali sebut itulah manhaj Azhar.
"Kita tidak boleh menilai dan menghukum orang, jadilah penyelesai wahai pelajar-pelajar ku"
Beliau tidak menambah point untuk mengatakan sesiapa sesat. Beliau lebih tertumpu agar menjadi orang yang wasatiy (pertengahan) dan bersifat sederhana juga amalkan sifat 'mendamaikan' (تسليم). Isu yang panas dan boleh bawa perpecahan, mereka lebih rela untuk berdiam diri lalu mengingatkan mana yang lebih penting.
Akhir sekali dalam isu ini, saya mendapati pendirian yang lebih baik adalah pendapat yang sepertimana dikatakan IHAB dalam Usul Isyrin dan dipersetujui YQ :
والدعاء إذا قرن بالتوسل إلى الله بأحد من خلقه خلاف فرعي في كيفية الدعاء وليس من مسائل العقيدة
"Dan Doa jikalau menggunakan kaedah 'Tawassul' kepada Allah swt dengan pengantara melalui makhluknya adalah khilaf furu' (juga Fiqhi) dalam tatacara doa dan bukannya dari masalah akidah"
Penyelesaiannya adalah taslim (تسليم), tidak perlu menuduh sesiapa. Tidak ada sesiapa salah.
Masalah furu' fiqhi adalah masalah zhonni (الظني)، maka tidak patut kita mengingkari sesama pendapat lain dengan zhonni yang lain
(ضوابط الإختيار الفقهي عند النوازل، دار الإفتاء المصرية | ص٦٧ ،2019)
Masalah tawassul bukan isu utama, kerana seorang yang memegang tanggungjawab besar fikirannya besar. Tidak perlu diberi perhatian penuh dalam isu furu' sebegini yang menjadi hangat beratus tahun lamanya dan tidak pernah habis.
Jangan pula kita terus menghukum orang lain fahaman dia begini hanya kerana perbuatan yang mungkin berbeza dengan apa yang kita tahu. Berat hukum tuduhan ni (Saya juga membaca pengalaman asatizah yang berkencimpung di Jabatan negeri pun ada yang mudah mengatakan orang lain berfahaman sesat dll).
Walaupun jawapan dr. Zulkifli Al-Bakri tidak menjawab secara hakiki apa yang didambakan penanya soalan. Tapi ada hikmah yang ingin diajar sesuai dengan kadar pengetahuan mustafti (orang meminta fatwa).
Kata Masyhur :
خاطبوا الناس على قدر عقولهم
"Nasihatlah kepada kalangan kamu sesuai dengan pengetahuan mereka"
Dari kita sibuk berbalah, berbalas dan merenggangkan ukhuwwah antara kita. Masih ada lagi perkara besar yang perlu kita kejar dari isu yang beratus tahun tak pernah habis.
Kata Ust Lah, "dalam mana-mana perbincangan, tidak ada sesiapa kafir. Barangsiapa yang mengkafirkan orang, beliau tidak matang" Mudah !
Nasihat saya jadilah umat Islam yang wasatiy, jangan takfiri. Setiap dari kita ada keistimewaan masing-masing. Setiap dari kita ada peranan masing-masing. Kelak berterusan bergaduh, kata peribahasa "Kalah jadi abu, menang jadi arang". Musuh pula bertepuk tangan.
Sebab itu, tidak patut kita menggelarkan Menteri Agama kita dengan gelaran pelbagai. Jikalau tidak setuju, cukuplah berpada dan tidak perlu menyentuh peribadi beliau. Beliau sudah sehabis baik untuk mendamaikan umat Islam pelbagai aliran dalam negara. Kecenderungan dan pendapat beliau wajar dihormati.

Add your comment