Kelas semalam memang membuatkan aku tersenyum bersendirian. Rasa kepuasan bila belajar fiqh isu semasa dalam tajuk 'جرحات للتجميل' iaitu pembadahan plastik dan mengetahui cara istinbat hukum para cendekiawan Islam dlam isu ini.
Pembedahan plastik terbahagi kepada tiga bahagian.
1) الضرورية
2) الحاجية
3) التحسينية
#1 'Dhoruriah' (kewajipan) adalah perkara jikalau tidak melakukan pembedahan maka akan mengakibatkan maut kepada seseorang seperti anak kembar yang mempunyai jantung atau kemaluan yang sama.
#2 'Hajiah' (keperluan) adalah perkara yang jikalau tidak dibuat pembedahan tersebut, tidak mengakibatkan maut cuma dianggap sebagai keperluan seperti meratakan gigi (braces), kulit muka terbakar jadi untuk menjadi seperti orang lain maka dia meindahkan kulit yang cantik daripada peha (Kebiasaannya) ke muka agar sama. Jikalau tidak membuat pembedahan tersebut tidak pula membawa maut, tapi ada keperluan yang dibenarkan syara' di situ.
#3 Tahsiniyah (keinginan) ini adalah pembedahan untuk mencantikkan badan, kulit dan rupa mahupun pertukaran jantina (lelaki kepada perempuan) Ini jelas haram dalam Islam.
#1 dan #2 dibenarkan di dalam syara' dengan pelbagai dalil Al-Quran dan Sunnah seperti
ولا تلقوا بأيديكم إلى التهلكة
ما أنزل الله من داء إلا وأنزل له شفاء
Manakala yang #3 adalah haram dan jelas kerana mengubah ciptaan Allah swt. Kenapa diharamkan adalah untuk mengelakkan mudharat yang lebih besar kepada beliau dan bertujuan untuk menjaga maslahat lebih besar dari segi kesihatannya dalam jangka masa panjang, barang yang diganti (plastik) tidak mampu menjadi lebih baik dari asli. Ini semua memainkan peranan demi menjaga maslahat bersama.
Dalilnya jelas dalam Al-Quran dan As-sunnah seperti
لعن الله الواشمات والمستوشمات والنامصات والمتنمصات والمتفلجات للحسن المغيرات خلق الله
Maksudnya: Allah Taala melaknat mereka yang mentatu dan yang minta ditatu, mereka yang mencabut bulu (di wajah), mereka yang minta di cabut bulu (di wajah) dan mereka yang merenggangkan giginya untuk tujuan kecantikan yang mengubah ciptaan Allah. (HR Bukhari & Muslim)
Apabila belajar hukum seperti ini memang buatkan aku tersenyum seseorang diri kerana puas dapat mendalami isu ini lebih mendalam. Perasaan berbaloi mempelajari agama sehingga ke Mesir untuk mendapat pengetahuan agama sebegini. Datang ke Mesir bukannya mudah terutama untuk aku sendiri. Satu-satunya anak lelaki dalam keluarga meninggalkan keluarga sendiri di Malaysia bukan mudah. Tapi sedikit demi sedikit Allah swt beri kemudahan dan kepuasan dalam mendalami ilmu.
Cabaran kelas fiqh isu semasa ni, ia memerlukan masa yang panjang dan susah untuk memahami isu lebih mendalam oleh kerana kepelbagaian istilah. Kena bukak buku balik di rumah, cari makna-makna istilah perubatan dalam bahasa Arab seperti الحيونية المنوية، البييضة، dan pelbagai lagi oleh kerana kami tidak biasa berbahasa arab seperti pelajar antarabangsa lain. Memang kebanyakan kelas kami tidak memahami yang dikatakan pensyarah.
Perlahan-lahan mendaki, Allah swt berikan kenikmatan dalam memahami isu ini secara jelas pada kelas ini. Mungkin aku sendiri pelik dengan diri sendiri, bagaimana dengan mengingati pelajaran kelas ini ketika baring membuatkan aku tersenyum seorang diri sehingga sekarang.
Aku mengharapkan, apa yang aku pelajari ini benar-benar membantu pertumbuhan generasi dalam memahami fiqh dan ilmu agama di Malaysia. Serta berbakti menjadi usuli bukan hifz al-fiqhi sahaja.
Akhir kelas, sempat aku bertanyakan soalan kepada pensyarah,
Sepertimana kita tahu, hukum bedah dari gemuk kepada kurus adalah haram kerana 'menukarkan dari rupa asal kepada rupa yang lain' untuk kecantikan.
Tapi..
Kalaulah, seseorang bersaiz besar ingin Menjalani pembedahan plastik kerana kurus kerana dia rasa fobia, takut kerana selalu diperli, dihina kerana dia gemuk. Adakah hukum asal iaitu (tahsiniyat) bertukar ke 'haajiyat' (keperluan) untuk mengelakkan dari diejek dan selari dengan maqasid as-syariah, iaitu 'حفظ المروؤة' (menjaga maruah).
Saya memang sengaja bertanya soalan begini kerana perasaan inquiry itu membuak dalam diri, bagi saya dihina, diejek adalah sebab utama pembedahan plastik dilakukan. Sebab itu saya menanyakan soalan begini
Beliau senyum dan gelak sahaja, terus beliau memberi jawapan 'pergilah beriadah supaya turun berat'.
Saya nak goreng soalan lagi, tak puas hati dengan jawapan beliau.
"Tapi dia mengalami penyakit obesiti sehingga tidak mampu untuk berdiri, maka perlukan pembedahan" .
Beliau menjawab, "jikalau begitu pergi tanya pakar perubatan betul-betul, kerana ada rawatan yang boleh dilakukan untuk beliau berdiri dan berjalan tanpa pembedahan"
Mendengar jawapan tersebut, aku tersenyum sendirian kerana aku tersedar memang aku menanyakan soalan yang pelik.
Dalam maqasid 'hifz al-muruah' (menjaga maruah), diejek semua itu sebenarnya tidak termasuk dalam maqasid di atas. Yang sebenarnya dimaksudkan 'حفظ المروؤة' adalah berkaitan nasab seseorang, seperti penzina dan bagaimana ingin menasabkan kepada ayahnya dan seumpamanya.
Diejek, dihina adalah lumrah dan masih dikira sebagai kecil berbanding perihal keturunan nasab seseorang. Dihina dan diejek ini adalah perkara yang remeh dan tidak perlu dipedulikan. Semakin kita layan, semakin itulah manusia akan menghina.
Kritikan yang membina tidak mengapa, tapi sekadar tidak puas hati tanpa berniat untuk menegur dengan nasihat yang baik itu usah dilayan.
Jangan terlalu fikir apa yang orang lain fikir terhadap kita, tapi fikirlah apa yang Allah swt, orang tersayang berfikir tentang diri kita sendiri.
Orang yang besar pemikirannya, tidak akan melayan perkara remeh. Semakin dia layan, semakin kecillah pemikirannya.
Kesimpulannya, mafhum 'menjaga maruah' mempunyai makna yang lebih besar. Maqasid syariah tidak boleh diertikan dengan semata-semata kefahaman kita. Perlu difahami dengan baik agar tidak mengubah maksud sebenar maqasid syariah. Berikanlah kepada ahlinya !
Add your comment