kehilangan jati diri,
Kita cuba penuhi pandangan kita dengan pandangan Al-Ma'diah (materialistik). Yang dinilai hanyalah pada rupa dan populariti. 'Followers' berapa yang kita ada .
Kita lebih menarik menjadi insan populis yang ingin meraih populariti dengan cara pelbagai bahkan sehingga tahap menghinakan maruah diri. Apakah ini dikira satu kemajuan dan peradaban ?
Erti Sebenar Peradaban dan Kemajuan
Prof Wan Mohd Daud, menerangkan bahawa menurut Syed Naquib Al-Attas jikalau dikeluarkan perkataan 'adab' dari 'peradaban' maka adab itu "bermaksud satu hubungannya dengan hakikat berdasarkan kepada daya dan potensi jasmani, akal dan rohnya.”
Adab membawa erti keluhuran budi dan kehalusan tatasusila yang menatijahkan keperibadian mulia. Kerana dengan ilmu dan adab dapat membentuk akal manusia menuju kebaikan hakiki .
Ketinggian peradaban bergantung sejauh mana keluhuran budi seseorang itu. Jikalau adab pula hilang, maka hilanglah peradaban sehingga jatuh taraf kita sama dengan binatang yang tidak berfikir.
Kemajuan peradaban bukan dinilai mengikut aspek fizkaliti tapi secara moraliti. Jikalau tidak ada sifat adab maka hilanglah nilai sebenar peradaban dan ketamadunan seseorang.
Budaya rosak dengan pandangan materialistik
Jikalau kita meninjau dan melihat pemuda kini, populis atau cantik dan materialistik (Al-Maadiah) dijadikan neraca menilai seseorang manusia malah menjadi 'cita-cita' mereka. Maka kiblat mereka kebanyakannya tertumpu ke negara yang juga mengamalkan juga aspek sebegitu seperti Korea, China dan Jepun.
Menilai manusia dengan rupa, taraf keluarga bakal mengugat sistem sosial manusia dan merupakan satu sifat yang terkeji. Kita lebih melihat kecantikan zahiri dari maknawi (akhlak).
Jikalau korea yang kita idolakan, hakikatnya dengan neraca Al-maadiah mereka menilai orang. Rupa paras, taraf keluarga, populariti dan kekayaan inilah yang dijadikan asas kemasyarakatan mereka.
Maka jikalau tidak cukup cantik, tidak ramai kawan, tidak cukup popular dan tidak pernah mempunyai teman lelaki adalah perkara yang cukup mengaibkan ! Dan kita mengikuti mereka selangkah demi selangkah tanpa tentangan bahkan menjadi sebahagian sifat diri.
Apa yang mereka buat, kita lakukan. Kita menjadi seorang yang tiada jati diri, mengikuti sahaja kehendak orang lain atas kita. Bagai lalang ditiup angin.
Yang cantik itu dipuji melambung, yang dikatakan 'buruk' pula dikeji. Pengelasan sosial sebeginikah yang dianggap maju dan beradab ?
Perkara luar adat sudah menjadi normalisasi remaja Melayu khususnya. Entah generasi apakah yang kita inginkan pada masa hadapan. Bersembang dengan rakan-rakan bekas Sekolah kerajaan bahawa ramai sahaja muda-mudi dengan senang hati menggadaikan maruah mereka dengan merakam video Tiktok yang diambil budaya dari luar, membuka aurat secara terbuka, sehingga ke tahap berzina. Maka apa lagi yang mendukacitakan daripada ini tentang bangsaku ?
Erti sebenar Jati Diri
Benar juga kata-kata Widya, salah satu protagonist dalam buku 'Pedagogi Bahasa Tertindas' bahawa "Bangsa yang kasar bukan bangsa Bangsa Melayu. Bangsa yang tidak sopan bukan bangsa Melayu. Tidak berbudi, jauh adat dan yang paling penting bukan Islam, bukan Melayu. Sebab itu kata Tok Ayah (Prof Madya Dr Hussein Taha) semasa zaman kemelesetan adab ini, Melayu semakin hilang keMelayuannya"
Inilah jatidiri kita yang tertindas oleh diri sendiri tanpa kita sedar !
Peranan Bahasa memartabatkan Bangsa
Percayalah bahawa bahasa kita sudah menjadi bahasa ilmu lebih daripada 500 tahun yang lalu. Jikalau ingin kita melihat bangsa kita maju kehadapan, sikap kita terhadap bahasalah perkara pertama yang perlu diubah.
"Bangsa yang tidak menghargai bahasanya akan kehilangan dirinya. Bahasa kita adalah air mata, maruah kita. Hilang bahasa, hilanglah jati diri. Hilang bahasa, hilanglah diri" (Dr Hussein Taha)
"Masalah orang Melayu bukan pada kebolehan mereka tetapi pada lemah jiwa mereka dan kerdil pandang minda mereka pada diri sendiri akibat sikap terlalu mengkagumkan penjajah dan menafikan kejayaan bangsa sendiri" Abdullah Zaik
Bahkan Prof Wan Mohd Daud dan Dr Khalif Muammar senada dalam mengutarakan pendapat ini. Bahkan, jalan kembali menuju puncak ketamadunan bangsa adalah tidak lain kita perlu mendekatkan diri kita kepada agenda Islam.
Beberapa persoalan jikalau ini menjadi fikiran pemuda-pemudi sekarang
Adakah Islam boleh bangkit dalam keadaan sekarang ? Adakah masyarakat benar-benar faham akan makna dakwah A'mr Al-Ma'ruf wan' nahy Al-Mungkar ? Bagaimana survival bangsa Melayu dan bahasa jiwa kita dalam 20 tahun akan datang ? Bagaimana ingin kita (muslim) kembali mentadbir dunia ?
Dan pelbagai lagi persoalan yang seharusnya difikirkan oleh pemuda-pemudi kita. Tapi masih lagi kebanyakan kita banyak lagi menumpukan terhadap perkara Al-Maa'diah dari perkara Ma'nawiyah.
Kita tertumpu banyak lagi dengan menangis kerana putus cinta, sentiasa mengikuti 'trend' video tik tok, menceritakan hal privasi orang rumah di media sosial dan banyak menumpukan dengan perkara yang menyeronokkan semata-mata.
Bagi pejuang sebenar itu adalah masalah kecil dan remeh. Mereka mementingkan perjuangan dari perkara remeh itu bahkan aib jikalau itu yang difikirnya setiap hari. Itulah sifat 'Rojulah' yang sifatnya berani, tegas dalam memperjuangkan agama, nusa dan bangsa.
Mulakan dengan diri kita, banggalah menggunakan bahasa Melayu secara penuh seperti 'selfie', lebih baik kita gunakan 'swafoto' dan semisal dengannya.
Kesimpulannya, jati diri Melayu ini apabila kita tidak lagi bersikap pesimis terhadap bangsa kita dengan memulakan berhenti kata 'janji Melayu' yang selalu tidak tepati waktu.
Mendekatkan diri kita dengan agenda yang besar dan berjuang serta kembalikan kegemilangan kita dengan Islam. Kerana kembali kepada epistemologi Islam sahaja yang dapat menyelamatkan kita dari kemusnahan nusa dan bangsa.
Buku yang sangat menarik dalam menyatakan perihal kepentingan bahasa Melayu. Tujuannya jelas tapi penyampaiannya dan plot agak mudah. Bagus untuk dibaca oleh semua pihak.
Add your comment