Menangani Khilaf waqi'i di Malaysia dan Mesir

"Apakah perbezaan pendapat bermaksud menghina ?"

Soalan ini terbenak di dalam hati apabila satu kiriman whatsapp dari seseorang kepada saya . Saya masih keliru, dalam wacana ilmu yang semakin luas, penjualan buku ilmiah tersebar luas. Rupanya masih ada lagi golongan yang ketinggalan dan tidak dapat menerima perbezaan pendapat pada pasca zaman kemodenan ini. Malah sikap tidak menerima perbezaan atau 'dilema' pengharaman jemaah antara satu sama lain tersebar juga di kalangan pelajar Malaysia Mesir. Persoalannya, bagaimana menangani perbezaan pendapat selari dengan syariat Islam ?

Ibnu Taimiyah : "Tidak ada satu pun Imam mahupun ulama' boleh menuntut bahawa pendapat mereka yang paling benar dan wajib mengikuti mereka" (Majmuat Fatawa)

Tidak ada satu pun yang dapat mengakui bahawa mereka adalah yang paling benar. Perbezaan pendapat diterima dalam Islam bahkan ia adalah satu rahmat kepada umat dalam memilih dan menerima sesuatu pandangan (الخلاف الرحمة) .

Bahkan memilih pendapat Imam/ulama' tertentu lalu mengeji dan memburukkan pandangan dari kalangan Ulama' lain adalah taksub dan merupakan satu kekejian dan kesesatan . 

Al-Qadhi Ibnu Abi Al-I'z al-Hanafi berkata "Barangsiapa taasub dengan seseorang selain daripada Nabi dan berpendapat, pendapat dia sahaja yang betul tanpa menerima pendapat Imam/ulama' lain, maka dia termasuk dari kalangan orang jahil lagi menyesatkan . Sedangkan kesemua Imam/ulama' mengakui bahawa beriman dan menerima secara sempurna (kaffah dan kholis) hanyalah kepada Nabi Muhammad SAW sahaja . Barangsiapa taksub kepada seseorang ulama' dan menolak pandangan ulama' lain ia seolah menerima sebahagian sahabat dan menolak sahabat lain seperti Syiah Rafidi, menerima Saidina Ali tapi menolak khalifah al-Rashidin yang tiga"

Taksub merupakan satu sifat yang sangat dikeji dalam Islam dan boleh menimbulkan perpecahan dan fitnah di kalangan umat Islam.

Berkata As-Syeikh Al-Imam Soleh bin Muhammad Al-Umri Asy-Syahir: "Antara sebab tertakluknya negara-negara arab di bawah perancis dan terjatuhnya negara Timur oleh tentera Tartar (Monggol) kerana banyaknya taksub, berpecah belah, dan fitnah yang berlaku di kalangan orang Islam".

PUNCA UTAMA TAKSUB

Dr Thola'at Muhammad Afifi (Ketua Dekan kuliah dakwah, uni. Al-Azhar) dalam bukunya [ادب الاختلافات الفقهية وأثره في العمل الإسلامي المعاصر] menyenaraikan tiga sebab utama punca taksub iaitu :-

1) Terlalu mengagungkan satu pendapat ulama' dan mencela pendapat dari ulama' lain .
2) Mengadakan satu penipuan atas nama Nabi Muhammad SAW untuk memenangi pandangan dia sahaja .
3)  Mengikut fatwa berlandaskan hawa nafsu .

MENIPU ATAS NAMA NABI

Antara contoh hadis yang dibuat oleh pentaksub untuk menipu terhadap Nabi yang dicatat oleh Imam Asy-Syaukani dalam bukunya

"Akan wujud seorang lelaki dalam umatku ini seorang lelaki bernama 'Muhammad bin Idris' (Imam syafie), ketahuilah bahawa dia membawa lebih mudharat daripada Iblis. Akan wujud seorang lelaki dalam umatku bernama Abu Hanifah, ketahuilah dia adalah penyelamat ummah"

*Imam Syaukani mengkritik hadis ini sebagai maudhu' (موضوع) pada isnadnya iaitu 'Ma'mun bin Ahmad Salmi dan Ahmad bin Abdullah Al-Juibari' .

Ini adalah contoh pentaksub yang melampau sehingga menipu atas nama Rasulullah. Sedangkan Imam Abu Hanifah dan Imam Syafie memuji dan menghormati antara mereka . Paling sedih, sehingga ke satu tahap ketaksuban, hadis ini direka hanya semata-mata untuk memenangkan pendapat mereka.

MASALAH KHILAFIAH MESIR DAN MALAYSIA

Di Mesir, pengharaman jemaah antara satu sama lain, menarik muka, diboikot, marah secara tiba-tiba kerana berlainan pendapat adalah suasana yang 'real' berlaku di kalangan pelajar Malaysia . Sifat 'kematangan' dalam menerima pendapat hanya diterima sebahagian kecil pelajar Malaysia.

Tidak pelik jikalau sepulangnya asatizah (Ustaz dan Ustazah) ini ke Malaysia. Tabiat dan sifat perangai ini meresap pula di kalangan masyarakat kita . Mangsanya yang sebenar bukan 'kita' tapi masyarakat !

Dalam buku Adab Ikhtilaf Al-Fiqhiah wa asaruhu fi al-a'lami al-Islami al-Maa'sir ditulis oleh Dr.Tola'at Muhammad Afifi, ada satu kisah,

seseorang menanyakan kepada seorang pentaksub dari mazhab Hanafi, "Adakah dibolehkan lelaki bermazhab Hanafi berkahwin dengan perempuan bermazhab Syafie ?"
Maka jawab pentaksub itu, "Tidak boleh kerana terdapat syak pada imannya".

Situasi ini tidak jauh beza dengan kesan yang dialami oleh masyarakat, mangsanya bukan kita tapi masyarakat.

Antara permasalahan pendapat yang wujud di Malaysia sebagai misal, Ahli PAS dan UMNO tidak boleh kahwin hanya kerana berlainan parti, solat di belakang orang UMNO/PAN tidak sah solat dan budaya takfiri antara satu sama lain adalah misal yang berlaku di budaya kita.

Pergaduhan seperti ini hanya memudaratkan lagi Islam. Dalam sepatutnya jemaah Islam berlumba melakukan kebaikan (فاستبقوا الخيرات) tapi malangnya kita berpecah, mengeji antara satu sama lain.

KESIMPULAN

Hakikatnya kita berbeza kaedah bukan akidah. Perbezaan pendapat dari perkara furu' adalah perkara biasa dan dibolehkan dalam Islam. Jangan berlebihan dalam perbezaan kerana banyak lagi persamaan antara kita berbanding perbezaan.

Perbezaan ini hanya sekitar dalam perkara-perkara yang masih boleh diterima perbezaan pendapat, adapun berkaitan Aqidah dan kemaslahatan ummah ia patut diutamakan serta mengenepikan isu pengkhilafan furu' (Imam Hasan Al-Banna)

Imam Hasan Al-Banna juga pernah menyebut, "Sesungguhnya bagi aku, perkara yang paling besar yang mengancam umat Islam adalah PERPECAHAN dan KHILAF, manakala asas untuk mengatasinya hanyalah 'KASIH SAYANG dan KESATUAN' dan tidak akan selesainya musibah ini melainkan merujuk kepada 'dua' tersebut.

Tidak ada sesiapa yang maksum, melainkan Nabi Muhammad SAW.

Tidak berguna kita bertikai dan menggadai ukhuwwah kita hanya sahaja berbeza dalam secebis isu khilaf. Ketahuilah bahawa menegakkan daulah adalah yang utama. Medan perbahasan dan amal kita luas, masyarakat masih lagi jahil (LGBT, Liberal dll), ukhuwwah kita panjang, fokuskan tarbiah diri, menyatukan umat dan menegakkan akidah kerana ia adalah perkara usul. Taadud jamaah, khilafiah fiqhiah (خلافية فقهية) adalah furu' .

#JikalauBenarPolitikMatang
#MelayuSepakatIslamBerdaulat

Ukail Sanif
Mencintakan kesatuan umat Melayu Muslim












SHARE 0 comments

Add your comment

© Ukail Sanif · THEME BY WATDESIGNEXPRESS