Politik tanah air semakin meruncing. Pemimpin-pemimpin politik Melayu Islam langsung tidak memainkan peranan penting dalam menggesa hak Islam dan Melayu dipelihara. Walaupun dalam manifesto Pakatan Harapan meletakkan dalam buku tersebut pada janji 11 menyatakan akan mengembalikan maruah orang Melayu dan institusi-institusinya akan tetapi masih tiada bayangan yang jelas dalam melaksanakan janji tersebut.
Mereka menjanjikan kehidupan rakyat lebih baik daripada pemerintahan yang sebelumnya dengan janji-janji yang tidak munasabah malah dengan tarikh yang sangat pendek selama 100 hari ! Kita masih menunggu janji-janji yang signifikan seperti Tol dihapuskan, pembayaran hutang PTPTN ditangguhkan sehingga gaji mencukupi RM 4000 dan seumpamanya. Baru-baru ini tular bahawa UEC akan diiktiraf oleh menteri pendidikan dan sehingga kini isu ini menjadi polemik yang membuatkan rakyat semakin gusar dengan tindakan terkebelakang oleh kerajaan
Apakah UEC ini akan diiktiraf ?
Dengan mengambil kenyataan dari Dr Maszlee sendiri. Beliau berkata bahawa UEC ini masih 'belum' diluluskan lagi dan masih dalam perbincangan dan dalam proses kajian secara holistik . Beliau mengatakan bahawa samada setuju atau tidak pengiktirafan kerajaan terhadap UEC, KPT akan menilai dengan mengambil kira bahasa Melayu tetap menjadi bahasa kebangsaaan Malaysia serta apa sahaja langkah yang dibuat adalah mengharmonikan berbilang kaum di Malaysia.
Pengiktirafan UEC ini bukan sahaja akan dilakukan oleh Pakatan Harapan tapi termaktub juga di dalam manifesto Umno-BN pada PRU-14
Sungguh tepat perumpamaan dari Ku Seman, "Maka berpolitiklah mereka bagai pelakon di pentas opera, memakai baju yang berbagai-bagai rupa, petah berkata dan mahir memegang watak tapi akhir sekali kita tahu bahawa ia adalah lakonan semata-semata"
tetapi pada masa yang sama pemimpin politik menjadikan jati diri bangsa, bahasa ibunda dan budaya bangsa sebagai alat tawar menawar dalam mengejar 'kemenangan' politik. Kesian duhai bangsaku, Yang dikejar tak dapat, Yang dikendong berciciran.
Tiada alternatif yang jelas dalam memperkasakan hak bumiputera dari pihak pembangkang (Umno-Bn) mahupun dari pihak kerajaan (PH) pada PRU yang lepas. Agama Islam sebagai teras negara dan diterima umum sebagai agama kebangsaan semakin hari semakin digugat secara jelas. Ahli parlimen tanpa segan silu menyokong dasar yang menentang nilai perlembagaan dengan sebahagiannya menyokong himpunan LGBT dianjurkan di lembah Klang. Sedikit demi sedikit 'kebebasan yang batil' mula bercambah.
Bahasa Melayu yang sepatutnya menjadi bahasa negara dan bahasa perpaduan sekalian bangsa. Namun, bahasa Melayu seringkali ditolakansurkan sehingga tidak lagi digunakan terhadap urusan rasmi negara. Misalnya, seperti Tommy Thomas, sebagai peguam negara memegang jawatan yang begitu penting dalam kerajaan tidak dapat melaksanakan sidang media dalam berbahasa Melayu. Sedih mengenangkan apabila bahasa Melayu tidak dapat ditutur oleh rakyat Malaysia sendiri. Dimanakah jiwa perlembagaan jikalau orangnya sendiri tidak memahami intisari perlembagaan sendiri?
Sedangkan pemimpin Cina bijak dan matang dalam berpolitik . Biarlah berlawan dengan berbeza parti, tetapi di sebalik pentas ada matlamat perjuangan yang sama. Samada biru, oren atau merah perjuangan mereka tetap memberi manfaat bersama sepertimana halnya berlaku dalam isu UEC ini. Mereka bersatu agar UEC dibenarkan, walaupun bercanggah dengan nilai-nilai identiti negara kebangsaan kita
Keterlibatan mereka dalam arena politik bersatu dan dibantu oleh satu gabungan pertubuhan bernama Dong Zhong. Hatta samada dari pihak Umno-BN mahupun dari Pakatan Harapan, mereka tetap masukkan pengiktirafan UEC di dalam manifesto mereka. Menanglah sesiapa pun, yang menang itu hakikatnya 'mereka'.
Timbul pula persoalan, ada apa dengan Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) ini sehingga dijadikan polemik ?
UEC ini diambil modulnya dari luar (Taiwan) bermula pada tahun 1975 dan dipaksa supaya diiktiraf sekalipun ada elemen yang bertentangan denga kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan. Hal ini jelas termaktub dalam akta pendidikan 1996 bahawa bahasa kebangsaan (bahasa Melayu) harus dijadikan sebagai bahasa pengantar utama untuk sekolah menengah.
Penerimaan terhadap UEC ini akan membuatkan dengan hanya UEC sahaja sudah boleh melanjutkan pelajaran ke universiti awam di negara ini . Ramai sarjana tidak setuju akan tindakan pengiktirafan UEC ini.
Felo utama Institut Kajian Etnik UKM, Prof. Dato' Dr. Teo Kok Seong menyatakan pendirian tidak setuju terhadap pengiktirafan sijil UEC ini kerana dapat menggugat kesepaduan nasional negara. Kata beliau "kerajaan perlu menilai dari segi kemanusiaan. Ia seperti ungkapan 'kera di hutan disusukan, anak di rumah mati kelaparan . Ini mungkin merugikan kepada mereka yang mengikut sistem persekolahan aliran utama"
Tidak ketinggalan juga, Presiden Persatuan Penulis Nasional (PENA), Dr Saleeh Rahamad berkata, “Taraf subjek Bahasa Melayu dalam UEC sangat rendah berbanding Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), manakala subjek lain pula diajarkan dalam bahasa Cina. Bayangkan jika UEC yang dikeluarkan Sekolah Menengah Persendirian Cina (SMPC) mengikut sukatan pelajaran dari Taiwan diluluskan, kelak tidak mustahil akan timbul tuntutan kaum lain untuk sijil daripada sekolah vernakular mereka diterima.
“Apa akan jadi jika nanti berkembang pula Sekolah Menengah Persendirian Tamil, Iban dan Punjabi bagi mengangkat agenda kaum masing-masing hingga akhirnya negara bangsa diimpikan Malaysia hancur,” katanya dalam kenyataan baru-baru ini.
Bahkan ramai lagi pihak dari kalangan Tokoh mahupun NGO dan sebahagian pemimpin politik menolak akan pengiktirafan UEC seperti Prof.Dr. Ridhuan Tee, Pemuda UMNO, ISMA, UMMAH, PEMBINA, I-Guru, GAPENA.
Cukup jelas bagi menyatakan bahawa UEC ini akan memberi implikasi yang besar bukan sahaja terhadap bahasa Melayu tetapi merangkumi kesatuan dan keharmonian rakyat Malaysia hari ini dan akan datang jikalau tidak ada tindakan tegas dari pihak kerajaan. Kita perlu menolak pemimpin bacul yang tidak tegas dalam mempertahankan nilai kebangsaan Malaysia. Moga Malaysia terus memacu ke arah memartabatkan Islam sebagai agama kebangsaan dan Bahasa Melayu tetap di tempat dominan dan menjadi bahasa kebangsaan bagi seluruh rakyat Malaysia merentasi kaum
Add your comment