Sebagai pelajar azhar secara rasminya selama 100 hari . Saya menulis rencana ini bagi berkongsi luahan rasa dan pendapat sepanjang #100Hari di Mesir . Disebalik keindahan majlis-majlis ilmu di Mesir, ada juga menjadi rintangan malah cabaran kepada diri sendiri dan pelajar Malaysia umumnya .
Masalah kebanyakan pelajar Malaysia
Apabila menyambung pelajaran di negara orang, buat pertama kalinya kita bebas langsung dari pengetahuan Ibu Bapa . Jikalau dulunya kita sentiasa ada orang orang yang mengejutkan kita, menyiapkan makanan pada waktu pagi, ada guru yang marah jikalau tidak menggunakan waktu prep untuk belajar bersungguh apatah lagi jikalau tidak hadir di dalam kelas . Sekarang apabila di Mesir, semua itu tidak ada melainkan diri sendiri sahaja .
Bagi yang bekas pelajar asrama, perkara seperti bangun pagi, basuh baju dan seumpamanya itu sudah terbiasa berdikari . Walaubagaimanapun, di sekolah ada juga guru atau warden yang sudi menasihati jikalau tidak hadir kelas . Mesir berbeza ! Ia sememangnya antara diri kita sahaja .
Mesir ini banyak masa kosong sehingga kita tidak tahu untuk diisikan dengan apa . Jikalau di Malaysia, kita sudah terbiasa di'program' tapi jikalau di Mesir kita sendiri yang perlu ada agenda setiap hari agar masa tidak terbuang . Walaupun malu untuk disebutkan di sini, masalah pelajar di sini adalah selalu ponteng kelas . Ponteng kelas itu ada pelbagai sebabnya, tapi antara yang paling utama adalah 'Tidur' . Sungguh .
Di dalam kelas, ada seorang pelajar tertidur . Lantas, terus ustaz kami menegur, "kalau kamu ingin tidur, pergilah balik Malaysia ! Malaysia tidak ada katil ke untuk tidur sehinggakan kamu ingin tidur di Mesir ?" . Sentap kami semua .
Ada juga yang tidak hadir ke kelas kerana sibuk berpersatuan, ada juga sibuk yang menjaga bisnes mereka dan pelbagai lagi . Bayangkan, jika kita tidak datang sepanjang kelas di kuliah (3/4 bulan) pun tidak mengapa kerana tidak akan ada orang yang catit, asalkan datang sahaja waktu peperiksaan . Itulah yang berlaku di Mesir . Kelas di sini tidak wajib. Berbeza dengan universiti-universiti di Malaysia .
Game dan internet juga menjadi cabaran pelajar Malaysia di Mesir . Cybercafe dan kedai game (PS3/4) terlampau banyak di Mesir . Ditambah lagi plan internet di Mesir sememangnya murah . Plan internet wifi 300 gb hanya rm 50 sahaja ! Wifi laju di rumah juga antara penyebab pelajar Malaysia tidak datang ke kuliah .
Cabaran-cabaran inilah yang selalu menguji keazaman kita sewaktu mula-mula sampai ke Mesir . Samada kita benar-benar ingin menjadi orang berilmu atau orang yang bermain ?
Memahami Bahasa Arab Mesir
Umum bahawa dalam pertuturan bahasa arab terbahagi kepada dua iaitu bahasa arab fushah (baku) dan ammiyah (pasar/loghat) . Setiap negara arab ada ammiyah (loghat) dia . Cuma kelebihan loghat arab Mesir dapat difahami oleh semua negara Arab .
Sudah hampir dua tahun meninggalkan Mesir (2015) dan apabila datang semula ke sini menyebabkan bahasa Arab saya menjadi lemah . Jikalau di Malaysia, khususnya di Klang nak jumpa orang Arab mungkin setahun hanya dua tiga kali sahaja dapat berjumpa dan bercakap dalam bahasa arab di kedai arab . Benarlah orang kata, bahasa tanpa latihan akan hilang .
Kembali di Mesir, bahasa arab Mesir saya tidak faham sepenuhnya . Memahami bahasa arab Mesir sememangnya rasa asing .
1) كيف حالك ؟ = عامل ايه ؟ / 2) ماذا تريد ؟= مالو ؟
1) Apa khabar ? 2) apa yang kamu nak ?
Bahasa arab ammiyah ini sifatnya cepat dan singkat . Jikalau lihat contoh yang kedua, daripada dua kalimah bertukar kepada satu kalimah dengan perbezaan yang sangat berbeza dari kalimah asal bahasa arab fushah .
Menjadi permasalahan lagi, di Universiti Al-Azhar sendiri pun, pensyarah-pensyarah menggunakan bahasa arab ammiyah . Ini juga menjadi cabaran menyambung belajar di Mesir .
Akhlak orang Mesir
Baru beberapa hari sahaja di Mesir, sudah terlampau banyak kes-kes dahsyat berlaku . Ditipu oleh penjual dan peminta derma, kes pecah masuk rumah, menunjukkan benda lucah kepada siswi dan pelbagai lagi menimbulkan perasaan ralat dan kecewa dengan sebahagian ahli Mesir .
Jikalau kita disajikan dengan kisah Nabi Musa berdakwah sejak kecil, kita juga harus ingat dulu Mesir ini juga tempat hidupnya Firaun, Namrud dan Qarun . Al-hasil, sifat-sifat mereka ini samada dari 'keturunan' Musa mahupun Firaun tetap ada sehingga kini .
Sahabat saya sendiri Khairul Anwar dan sahabat serumah, baru-baru ini rumah mereka dimasuk lebih kurang 3-4 perompak melalui tingkap dan berjaya merompak barang mereka sehingga rugi berpuluh ribu ringgit ! Kekejaman perompak itu semakin terserlah apabila mereka mengikat sahabat-sahabat saya dan mencederakan sahabat saya di muka menggunakan parang . Nauzubillah !
Walaupun, kes ini antara yang teruk dalam kes pecah masuk perompak di Mesir . Saban hari, kegiatan ini masih berlaku sepanjang tahun terhadap pelajar Malaysia . Jikalau kes sedemikian berlaku terhadap lelaki apatah lagi, perempuan terutama janganlah keluar waktu malam lagi-lagi menaiki teksi seorang diri . Mohon dijauhkan daripada perkara buruk .
Syukur juga ada sebahagian rakyat Mesir yang baik dan jujur . Berjumpa dengan mereka dapat membetulkan kembali bahawa ada juga arab Mesir yang keturunan 'Nabi Musa' . Ketika di masjid, mereka sudi membantu memperbaiki bahasa arab dan ada juga yang selalu memberi bantuan makanan dan pelbagai lagi . Sedikit sebanyak, mereka inilah yang berjaya meneutralkan pandangan saya terhadap orang Mesir
Memahami kitab arab
Bercambahnya majlis ilmu dan berlambaknya kitab-kitab di Mesir ini memerlukan diri kita 'berdaya-saing' dengan majlis dan kitab-kitab agama ini . Makin banyak kita rehat, jangan lupa bahawa masih ada banyak lagi kitab yang perlu dibaca dan masih banyak lagi majlis ilmu yang belum kita hadiri lagi .
Budaya cinta ilmu itu subur dalam kalangan masyarakat Mesir, maka seharusnya ia dipuji .
Belajar di majlis-majlis ilmu di Mesir membuatkan saya bertambah insaf dan merasa kagum dengan kehebatan ilmu 'agama' .
Misalnya, ilmu sorof dalam bab ibdal (pertukaran) . Jikalau kita amati baik-baik pertukaran kalimat قال kepada اسم مغعول ada kaedahnya iaitu menukarkan قال kepada fi'il majhul (tidak tahu siapa yang berkata) barulah ikut wazan 'مفعول' . Mudahnya seperti berikut :-
1) قال -> 2) قيل -> 3) مقيول -> 4) مقوول -> 5) مقول
Jikalau kita lihat pada misal yang ketiga . Kita tidak mampu menyebut contoh tersebut . Oleh itu, huruf (ي) bertukar kepada (و) kerana asal kalimah قال ialah قول maka kita tukarkan kepada wau .
Kemudian pada misal keempat, dalam bahasa arab tidak boleh ada huruf i'llah bersebelahan seperti misal keempat . Oleh itu, kita padamkan huruf (و) sebelum (ل) . Pertukaran demi pertukaran dinamakan 'Ibdal' dalam bab sorof, ilmu tatabahasa arab . Dalam istilah keilmuan ia dinamakan 'etymology' . Sejarah pertukaran kalimah dinamakan sebagai 'etymology' dan kami belajar hampir setiap hari ilmu etymologi ini di Mesir .
Mudah sahaja, zaman kini, Kita selalu anggap sesiapa yang berbahasa inggeris lagi-lagi menggunakan perkataan janggal seperti epistemology, Etymology, judicial dianggap sebagai orang yang maju dan moden kerana dunia sekarang dikuasai oleh barat . Mereka cuma menggunakan istilah daripada bahasa mereka, cuba kita istilahkan dengan bahasa kita, terkebil mereka . Walhal pada zaman renaissance, orang eropah menganggap bahasa Arab itu bahasa moden bahkan memakai pakaian orang Arab itu dari kalangan ilmuwan dan bangsawan .
Hatta dahulu kala, sebelum starbuck lagi kopi dianggap sebagai minuman kelas bangsawan dan pernah menjadi alat jual beli di Eropah sepertimana fungsinya wang . Ketika mana orang eropah susah mengumpul duit untuk beli minuman kopi, orang Arab tenang sahaja menjual kopi dan menjadi peniaga besar dan kekal menjadi orang yang pertama memperkenalkan kopi kepada eropah .
Berbalik kepada subtopik asal, ingin memahami kitab arab memang merangkak . Banyak kali ketika mencari makna kalimat di kamus arab internet dan manual tetap tidak jumpa . Uslub (bentuk ayat) dalam perenggan pun agak susah untuk terjemah kerana ia adalah gayabahasa orang Arab yang sukar untuk diterjemahkan . Moga Allah permudahkan urusan kami dan menjadi mudah membaca buku arab .
Harga barang Mesir
Mesir ini susah dan mencabar, ujian di Mesir ini akan uji kita sehingga benar-benar diuji . Walaupun nilai rm 1 = 4.4 le, harga barang Mesir semakin hari semakin naik . Tambang bas naik dua kali ganda, barang-barang asas juga semakin naik harga .
Walaubagaimanapun, yang paling terasa tekanan adalah rakyat Mesir sendiri . Jikalau ikut rate rm terkini tinggi lagi nilai matawang kita berbanding Mesir dan kami masih boleh menampung perbelanjaan walau tidak murah seperti dahulu .
Berpersatuan lebih daripada belajar .
Isu persatuan di Mesir memang sangat mendukacitakan. Sesetengah pelajar membenci pelajar lain kerana persatuan lain . Hatta ada juga suara agar membenci pegawai atau kedutaan Malaysia kerana beberapa masalah dahulu (berpuluh tahun dahulu) .
Di Mesir, tiada keterbukaan dalam menerima pandangan yang berbeza sehingga kita dipaksa menerima pendapat orang lain walau kita sendiri berbeza pendapat dengan mereka . Kalau tidak, mudah sahaja . Melabel UMNO kepada persatuan lain dan menyuruh pelajar baru menjauhkan daripada persatuan lain . Benarlah kata, Ustaz Hasrizal . Melabel dan memfitnah UMNO atau Wahabi adalah senjata paling ampuh dan terkeji untuk mempertahankan fahaman dan mematikan pengaruh. Inilah yang dikatakan taadud jamaah di Mesir .
Alhamdulillah masih ada juga yang neutral dan tidak terpengaruh . Tapi ada juga yang terpengaruh ketika balik sahaja di Malaysia . Malangnya, pemikiran ini telah berlaku sejak berpuluh tahun dahulu yang berlaku kepada pelajar Malaysia di Mesir . Jemaah aku sahaja yang betul, yang lain adalah salah ini adalah fahaman yang bahaya dan menimbulkan permusuhan .
Isu persatuan tidak suka terhadap persatuan lain atau individu tertentu sehingga memboikot ini sudah lama berlaku di Mesir. Ustaz Fawwaz Fadzil Nor, Ust Nik Rahim bin Nik Aziz yang merupakan anak-anak presiden PAS sendiri pernah menjadi mangsa boikot hanya kerana perbezaan pendapat dan tidak mengikuti mereka .
Walaupun setakat ini, saya nampak pelajar Mesir baharu nampak lebih matang dalam menil pendapat . Tapi tidak dinafikan masih lagi ada permasalahan taadud jamaah yang di 'brainwash' oleh senior mereka .
Pada tahun 2018 ini dan memasuki zaman baharu ini, jadilah seorang pelajar yang matang dan menerima pendapat orang lain . Hentikanlah membenci, memfitnah dan beri alasan yang buruk kepada persatuan lain . Kesian, kerana mangsa keadaannya adalah masyarakat di Malaysia . Jikalau azhari sendiri tidak matang dalam khilaf isu taadud jamaah ini, adakah kita mengharapkan masyarakat lebih baik daripada pendakwah itu sendiri ?
Dalam memilih persatuan, pilihlah persatuan yang membina daripada membenci dan terbuka kepada pandangan dan persatuan lain yang wujud di Mesir . Ada sesetengah pelajar berpersatuan terlebih sehingga mengabaikan pelajaran . Ada juga pelajar belajar kurang, main banyak dan kurang pula beraktivisme . Itu juga salah . Beraktivisme lah dalam kerangka wasatiyyah . Pilihlah persatuan yang membantu membina diri kita dan mengajak kepada kecemerlangan dalam hidup untuk umat .
Paling ditakuti, jikalau kita masih meneruskan lagi perangai membenci dan tidak menerima keterbukaan . Hasilnya, perangai ini dibawa ke Malaysia akan menyebabkan pelbagai masalah kepada rakya amnya . Masyarakat yang matang adalah masyarakat yang terbuka kepada idea dan menerima segala sudut pandang yang baik walau berbeza parti, jemaah dan persatuan .
Amat buruk sikap taadud jamaah ini diteruskan kerana boleh mengakibatkan masyarakat mengutamakan emosi dari rasional hanya kerana berbeza wadah . Perbezaan pendapat politik ini hanya pada cara tapi kita masih seagama .
Moga Allah memberikan taufiq kepada kita dalam memilih jalan yang betul .
#MembangunMahasiswaBeragenda
Khulasah 100 hari
100 hari di sini sejujurnya, rasa hampir putus asa untuk sambung belajar di sini dan sambung balik Malaysia. Walaupun begitu, antara emosi dan rasional sentiasa menjadi timbangan seperti hati Ibu Ayah dan pelbagai lagi . Terlampau banyak asbab yang membuatkan kita berfikir balik samada adakah kita betul-betul bersedia untuk belajar di Mesir .
Mesir ini sangat susah dan akan menguji kita sehingga benar-benar teruji . Banding dengan Malaysia, semuanya ada dan bersistematik . Di Malaysia kita disediakan lebih daripada apa yang kita perlu menyediakan .
Pilihan pun sudah dibuat, saya niatkan sepanjang pengalaman susah senang di sini adalah satu pengajaran hidup untuk lebih cekal dan matang . Saya harap persepsi saya kepada al-Azhar semakin baik dan membuatkan saya lebih bersemangat belajar di sini . Moga diberikan kekuatan dan taufiq .
Add your comment